LONDON – Arsene Wenger menjelaskan bahawa Cesc Fabregas telah menanggung tekanan yang terlalu berat dalam usahanya untuk menghadiahkan Arsenal sebuah trofi musim ini.
Kapten The Gunners, Fabregas, 24, diberi peranan tersebut bagi memujuknya untuk terus kekal di Emirates dan kini Wenger mula bimbang ia terlalu berat untuk dipikul oleh perancang Sepanyol itu.
Spekulasi terbaru memberitahu bahawa Fabregas mungkin akan meninggalkan England pada musim panas ini.
Namun, Wenger menegaskan Fabregas akan terus kekal dengan Arsenal selain terus memegang peranan sebagai kapten.
Wenger berkata: “Memang saya percaya ia adalah satu tekanan yang terlalu berat untuk Cesc ketika ini.
“Dia adalah kapten pasukan dan Robin van Persie pembantunya. Jadi mereka memikul banyak tekanan ke atas mereka sendiri.
“Tetapi Cesc adalah seorang pejuang. Dia mahu menang dalam semua perlawanan. Dan sudah tentu kecewa apabila ia tidak berlaku.
“Mungkin musim ini beban ke atasnya agak berat sedikit.
“Saya percaya pasukan ini semakin matang. Semua pemain masih muda. Pencapaian terbesar bagi mereka ialah mencatat kemenangan bersama-sama.
“Mereka juga telah dikritik teruk dan pada ketika ini mereka tidak mendapat pujian yang sepatutnya.” – Agensi
Kosmo.