Cesc Fabregas mengakui dia gembira berada di kelab Liga Perdana England itu dan belum ada keputusan dibuat mengenai perpindahannya.
"Saya masih lagi pemain Arsenal. Saya sangat gembira berada di sini (Arsenal) sejak lapan tahun lalu dan berasa sangat gembira," kata Fabregas ketika ditanya prospek perpindahan ke Barcelona semalam.
"Ketika ini, saya tidak fikir mengenai bola sepak. Hanya fikir mengenai percutian saya."
Pemain tengah berusia 24 tahun itu berkata, persoalan mengenai masa depannya perlu diajukan terus kepada pengurus Arsenal, Arsene Wenger yang sudah enam minggu tidak ditemuinya.
"Tidak ada sebarang keputusan. Secara jujurnya, ia tidak hanya bergantung kepada pemain dan buat masa ini saya tidak mengetahui apa-apa.
"Saya sangat gembira pada situasi ketika ini. Selebihnya adalah spekulasi yang tidak betul. Kamu tidak boleh berkata tidak dalam kehidupan. Jadi, terlalu banyak perkara yang tidak dijangka akan berlaku kepada kamu."
Laporan media di Sepanyol mendedahkan bahawa juara Eropah, Barcelona akan membayar 40 juta euro (RM173 juta) bagi mendapatkan khidmat pemain tengah Sepanyol itu pada musim panas ini.
Pemain yang berpindah dari Barcelona ke London pada tahun 2003 di usia 16 tahun itu dianggap sebagai calon terbaik bagi menggantikan tempat perancang utama, Xavi Hernandez yang akan mencapai usia 31 tahun pada Januari ini.
Fabregas berkata, dia berasa kecewa selepas Arsenal gagal memenangi sebarang trofi sejak enam tahun lalu tetapi yakin skuad The Gunners akan menamatkan kemarau gelaran itu.
"Seorang pemain yang tidak kecewa selepas gagal memenangi gelaran dianggap sebagai menipu diri sendiri atau tidak bercita-cita tinggi," katanya.
"Mereka (Arsenal) adalah sebuah pasukan yang baik dan memiliki seorang pengurus yang baik serta salah sebuah kelab paling menarik di Eropah. Dengan semua ini, saya yakin kami akan meningkat dan suatu hari nanti kami akan memenangi trofi." - Kosmo
No comments:
Post a Comment